KUANTAN, 1 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah menegaskan bahawa pembangunan negeri hendaklah dilaksanakan secara seimbang tanpa mengorbankan khazanah alam sekitar dan kedaulatan tanah negeri yang menjadi amanah untuk dipelihara bagi generasi akan datang.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini.
Mengikut titah Paduka Baginda, alam sekitar bukan sekadar khazanah negeri, sebaliknya merupakan amanah Allah SWT yang menjadi nadi kehidupan, benteng keseimbangan alam serta warisan tidak ternilai yang perlu dipertahankan.
Paduka Baginda bertitah usaha pembangunan tidak seharusnya dilakukan sehingga menyebabkan kemusnahan alam kerana generasi hari ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan khazanah tersebut terus dinikmati oleh anak cucu pada masa hadapan.
“Alam bukan harta, tetapi amanah. Sesungguhnya hutan bukan sekadar khazanah negeri Pahang, tetapi amanah Allah SWT yang menjadi nadi kehidupan, benteng keseimbangan alam dan warisan yang tidak ternilai kepada generasi akan datang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah alam yang diwarisi bukan untuk dihabiskan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Menurut Paduka Baginda, kerajaan negeri Pahang terus berpegang kepada prinsip bahawa pembangunan tidak boleh dibina atas kemusnahan alam sekitar.
Sehingga kini, lebih 1.59 juta hektar atau 44 peratus keluasan negeri Pahang kekal sebagai Hutan Simpanan Kekal, selain kawasan baharu turut diwartakan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan negeri yang menetapkan dasar bahawa setiap kawasan Hutan Simpanan Kekal yang dinyahwartakan bagi tujuan pembangunan awam atau ekonomi hendaklah diganti dengan kawasan hutan lain yang setara atau lebih bernilai.
Mengikut titah Paduka Baginda, prinsip tersebut mencerminkan iltizam kerajaan negeri bahawa setiap inci khazanah alam yang digunakan untuk pembangunan rakyat tidak akan dibiarkan hilang tanpa diganti.
Paduka Baginda bertitah usaha mempertahankan hutan jauh lebih sukar berbanding menebangnya kerana proses pemulihan mengambil tempoh yang panjang.
“Hakikatnya, mempertahankan hutan jauh lebih sukar daripada menebangnya. Menanam semula sebatang pokok mengambil masa puluhan tahun, tetapi menumbangkannya hanya memerlukan beberapa minit.”
Paduka Baginda turut bertitah kerajaan negeri sanggup berkorban sebahagian peluang hasil demi memastikan khazanah alam terus terpelihara untuk kepentingan rakyat, negara dan dunia.
Menurut Paduka Baginda, usaha pemuliharaan alam sekitar bukanlah suatu tanggungjawab yang kecil kerana Pahang menanggung pengorbanan besar dengan mengekalkan kawasan hutan yang luas yang turut memberi manfaat kepada seluruh negara.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berpandangan usaha pemuliharaan tersebut wajar terus mendapat sokongan lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan melalui mekanisme Ecological Fiscal Transfer (EFT) termasuk peruntukan kewangan yang bersesuaian.
Paduka Baginda bertitah manfaat daripada khazanah hutan Pahang bukan sahaja dinikmati oleh rakyat negeri ini, malah menjadi benteng alam sekitar kepada seluruh negara.
“Janganlah kita menjadi generasi yang mewariskan bangunan yang megah, tetapi meninggalkan sungai yang tercemar, bukit yang gondol dan hutan yang hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kemajuan yang sebenar bukanlah apabila kita berjaya menakluk alam, tetapi apabila kita berjaya memeliharanya,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG






