PEKAN, 1 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi bersempena dengan Temasya Warisan Pahang.

Turut sama ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam serta isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah binti Abdul Rahman; Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Hadir sama, Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia Tuan Yang Terutama Emir Salim Yuksel; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Indera Hermono dan Duta Besar Filipina ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Maria Angela Abrera Ponce.
Sebelum santapan tengahari, Paduka Baginda berkenan menyaksikan persembahan kebudayaan daripada masyarakat ‘Orang Kita’ dan melawat Pavilion Sarawak yang mempamerkan pelbagai aktiviti kraf dan warisan Sarawak.- KESULTANAN PAHANG