Sambutan hari ketiga penganjuran Temasya Warisan Pahang 2025 amat membanggakan dan cukup meriah dengan kehadiran orang ramai dari dalam dan luar negara termasuk pelajar-pelajar sekolah.
Lebih menarik apabila diadakan pertandingan masakan antara sekolah-sekolah di samping aktiviti harian yang diadakan iaitu bengkel pewarnaan alam, bengkel sulaman, tekat, bengkel tenunan, bengkel batik, persembahan muzik tradisional dan masakan warisan yang bukan sahaja dari Pahang tetapi turut didatangkan khas dari Sarawak.
Selain itu, penyertaan Turkiye dan beberapa negara ASEAN seperti Laos, Singapura dan Indonesia juga amat membanggakan sebagai tanda sokongan terhadap Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam memartabatkan seni kraf warisan negara di persada dunia.
Temasya Warisan Pahang diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj pada pukul 10 pagi.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – KESULTANAN PAHANG






