KUANTAN, 5 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447/2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah dan Tokoh Maulidur Rasul serta hadiah pertandingan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.
Tokoh Maulidur Rasul pada tahun ini dianugerahkan kepada mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Tok Muda Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz yang membawa pulang RM10,000 dan sijil penghargaan. -KESULTANAN PAHANG