KUANTAN, 5 Sept. 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada Penolong Pesuruhjaya Bomba Ismail bin Abdul Ghani yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidul Rasul Peringkat Kebangsaan kategori Wira Negara bagi tahun ini.
Anak jati Pekan Pahang ini menerima anugerah di atas keberanian dan pengorbanannya dalam menjalankan tugas dan telah diiktiraf di peringkat kebangsaan sekaligus mengharumkan nama negeri ini di persada negara.
Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pengiktirafan tersebut menjadi sumber inspirasi kepada anggota dan pegawai bomba lain , bahkan juga seluruh rakyat khususnya golongan muda untuk mencontohi nilai keberanian, keikhlasan, dan semangat pengorbanan yang ditonjolkan oleh PPB Ismail.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan keyakinan bahawa penghargaan ini mampu menyemarakkan lagi semangat kecemerlangan dalam perkhidmatan awam, selain memperkukuh perpaduan rakyat menerusi penghayatan nilai murni sebagaimana dicontohkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Semoga anugerah yang diterima ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai rakyat negeri Pahang untuk terus menabur bakti dengan penuh dedikasi, berani dan berintegriti demi agama, bangsa dan negara. -KESULTANAN PAHANG