TEMERLOH, 18 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, pembinaan Jalan Pintas Kampung Tenggoh Seberang bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk, malah diharap dapat menghubungkan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat kampung yang terlibat.
“Ia masalah perhubungan penduduk Kampung Lebak Seberang dan syukurlah dengan terbinanya Jalan Pintas Kampung Tenggoh Seberang, ia memberi kemudahan kepada mereka.
“Saya juga berharap jalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, khususnya di kampung sekitar,” titah Paduka Baginda.
Paduka Bginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat melawat jalan pintas itu di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj.
Dalam pada itu, terbinanya jalan pintas berkenaan juga adalah hasil keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku terhadap masalah rakyat di mana aduan mengenai jalan tersebut yang diterima semasa Program Kembara Pahang 1.0 pada 23 April lalu berjaya diselesaikan dalam tempoh 55 hari.
Paduka Baginda bertitah, inisiatif pembinaan jalan itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan 140 penduduk Kampung Lebak Seberang yang memohon jalan pintas dibina selepas laluan sedia ada ditutup sejak empat tahun lalu.
“Mereka (penduduk) telah menahan kereta saya semasa Program Kembara Pahang, ia ada rahmatnya kerana saya sekeluarga berpeluang meninjau dalam perjalanan dan di situ lah saya mendapat maklumat mengenai masalah jalan di sini,” titah Paduka Baginda.
Menurut Paduka baginda lagi, kecepatan penyelesaian masalah ini adalah hasil kerjasama erat antara Paduka Baginda dan kerajaan negeri yang sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
“Ini akan menjadi contoh dan penanda aras kepada kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat. Ia boleh dipercepatkan jika kita benar-benar beri tumpuan kepada isu setempat,” titah Paduka Baginda.
Pembinaan Jalan Pintas Kampung Tenggoh Seberang sepanjang 193 meter dengan kelebaran 3.3 meter ini melibatkan kos sebanyak RM116,800 mampu menampung beban sehingga lima tan dan disiapkan dalam tempoh hanya tiga hari selepas kerja bermula pada 13 Jun lalu. -KESULTANAN PAHANG