MARAN, 20 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Program Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Paduka Baginda dalam titah menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran lebih 500 pejuang kepulihan yang hadir menyertai program tersebut sebagai simbol kekuatan dan semangat baharu untuk menempuh kehidupan.
“Tahniah dan syabas, rasa bangga diri saya bersama anda semua. Sebab saya nak hadir di satu program berkaitan dengan dadah bersama dengan mereka yang telah dipulihkan.
“Sesungguhnya, setiap langkah saudara dan saudari ke arah pemulihan ini adalah satu kemenangan. Awak telah menang satu jihad hari ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, usaha pemulihan terhadap insan yang pernah tergelincir mestilah dilaksanakan dengan kasih sayang dan penuh keinsafan, malah mereka yang kembali menyesali kesilapan wajar diberi ruang untuk membina kehidupan baharu kerana setiap insan berhak diberi peluang kedua.
Namun tegas Paduka Baginda, tindakan keras dan tanpa kompromi perlu dikenakan terhadap dalang, pengedar serta sindiket dadah yang diibaratkan sebagai “musang berbulu ayam” kerana sanggup merosakkan kehidupan orang lain demi keuntungan haram.
“Undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan keberanian, hukuman pula mesti ditegakkan dengan penuh keadilan, agar menjadi pengajaran dan tidak ada yang berani menjejaki langkah serupa,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG