KUALA LUMPUR, 25 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj melawat International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampus Kuala Lumpur, semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda bersama-sama DYMM Sultan Selangor disambut Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Rektor UIAM Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan Dekan ISTAC-IIUM, Prof. Dr. Hazizan Md. Noon.
Paduka Baginda yang merupakan Ketua Perlembagaan UIAM mengiringi DYMM Sultan Selangor melawat ke Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas serta meninjau fasiliti serta landskap kampus ISTAC-IIUM.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor turut meluangkan masa meninjau koleksi-koleksi manuskrip bersejarah serta buku-buku intelektual yang jarang ditemui serta meninjau fasiliti perpustakaan termasuk ruang bacaan, arkib khas dan ruang katalog digital, sambil diperlihatkan beberapa naskhah manuskrip terpilih yang memerlukan pemeliharaan rapi.
Persembahan taklimat disampaikan oleh Ketua Perpustakawan, Yusrina Abu Bakar.
Dalam sesi lawatan ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan DYMM Sultan Selangor turut berkenan menerima persembahan taklimat berkenaan perkembangan semasa ISTAC-IIUM termasuk penyelidikan yang dijalankan dalam bidang tamadun Islam, pemikiran Islam kontemporari, serta usaha pemuliharaan manuskrip dan pembiayaan untuk memperluas akses digital koleksi. -KESULTANAN PAHANG