KUALA LIPIS, 12 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Dataran Orang Kaya Haji di sini bagi menyempurnakan pelancaran Majlis Rekreasi Pahang, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal.
Paduka Baginda di dalam titah menzahirkan anggapan pada awalnya penubuhan Majlis Rekreasi Pahang adalah satu cadangan yang agak memcabar kerana melibatkan banyak risiko dalam menghadapi cabaran-cabaran memanjat bukit dan sebagainya.
“Namun apa yang saya dapat maklum dan juga dapat tengok dalam TikTok begitu bersungguh dan begitu hebat sekali pasukan Yang Berhormat (YB Fadzli) membuktikan keupayaan dan kesungguhan mereka untuk menaiki Gunung Tahan baru-baru ini,” titah Paduka Baginda.
Menyentuh berkenan program dan idea melalui penubuhan MRP ini, Paduka Baginda menzahirkan harapan dan berkehendakkan anak-anak muda di Pahang memberi kepentingan kepada khazanah alam sekitar.
“Kesedaran yang luas tentang pentingnya khazanah alam sekitar ini kerana ia akan menjadi satu legasi ataupun satu tugasan amanah kita, amanah saya, amanah kerajaan untuk diberikan kepada anak-anak muda khususnya anak saya nanti, dan anak-anak muda yang di hadapan saya ini untuk terus memikul tanggungjawab memelihara khazanah alam sekitar ini.
“Justeru, peranan Majlis Rekreasi Pahang (MRP) ini juga bukan sekadar mempromosi, membangunkan, memelihara dan mendidik tetapi turut menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi memastikan khazanah alam dipelihara sebaik mungkin untuk diwarisi oleh generasi seterusnya.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan penggiat aktiviti rekreasi ini yang sangat aktif sejak lebih dari sepuluh tahun yang lalu.
Sudah tiba masanya segala pengetahuan dan pengalaman dikongsikan, di samping menambah baik fasiliti dan produk pelancongan sukan rekreasi di Negeri Pahang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG