KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Tayangan Khas Filem Hanyut di Perbadanan Kemajuan Filem National Malaysia (FINAS), Kompleks Studio Merdeka di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 3 petang turut diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir menyambut keberangkatan tiba Paduka Baginda ialah Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib serta Pengarah filem Hanyut, Dr U-Wei Hj Saari.
Paduka Baginda berkenan meluangkan masa hampir dua jam menonton tayangan khas filem epik berdasarkan novel Almayer’s Folly ditulis oleh Joseph Conrad. Penggambaran filem yang pernah ditayangkan di pawagam pada tahun 2016 ini dilakukan di negeri Pahang iaitu di daerah Pekan dan Lipis.
Usai tayangan, Paduka Baginda berkenan bergambar bersama jemputan termasuk barisan artis yang menjayakan filem ini yang turut pernah diangkat sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017). -KESULTANAN PAHANG