SARAWAK, 31 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Sarawak hari ini bagi memulakan lawatan selama empat hari ke bumi Kenyalang itu.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira pukul 12 tengahari disambut Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail serta Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Sepanjang lawatan ini, beberapa program telah disusun bagi memenuhi jadual keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda berdua, termasuk majlis santapan rasmi, lawatan ke beberapa institusi dan tarikan utama negeri serta Majlis Penangguhan Reggata Sarawak 2025 dan Festival Kraf Borneo Sarawak 2025.
Lawatan ini dijadualkan berlangsung sehingga Isnin depan ini dijangka dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang dan Sarawak. -KESULTANAN PAHANG






