KUALA LUMPUR, 7 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Bukit Jalil, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda ke pusat tersebut yang terletak di Masjid Talhah Bin Ubaidillah disambut oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Sri Subahan bin Kamal; serta Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali.
Majlis perasmian ini menandakan pembukaan rasmi cawangan keenam Pusat Hemodialisis YASA, sebagai kesinambungan Inisiatif Teras Kesihatan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bagi memastikan rakyat, khususnya golongan B40 dan asnaf, mendapat akses kepada rawatan dialisis yang percuma, berkualiti dan selesa.
Pusat Hemodialisis YASA Bukit Jalil dibangunkan melalui kerjasama strategik antara YASA dan MAIWP, dengan MAIWP sebagai penyumbang utama bangunan dan fasiliti perubatan dialisis, manakala PERKESO menyumbang 10 unit mesin dialisis ke rangkaian Pusat Hemodialisis YASA bagi manfaat pesakit. Kerjasama ini melambangkan kesatuan antara institusi diraja, agensi agama dan badan kerajaan dalam memperkasa agenda kesejahteraan rakyat.
Sebagai simbolik pelancaran, Paduka Baginda berkenan menyaksikan penyerahan cek cura MAIWP bagi penubuhan pusat ini, diikuti penyerahan cek cura daripada PERKESO sebagai tanda penghargaan atas sumbangan peralatan dialisis.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara YASA dan PERKESO yang menandakan perluasan jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh skim bantuan kesihatan dan kebajikan sosial kepada masyarakat secara menyeluruh.
Melalui MoU ini, YASA dan PERKESO akan melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan komuniti dan sokongan sosial, khususnya bagi golongan B40, pesakit kronik serta Orang Kurang Upaya (OKU). Antara skop kerjasama yang digariskan termasuk program saringan kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD), perkhidmatan pemulihan dan sokongan psikososial kepada pencarum PERKESO yang kehilangan upaya bekerja, serta rujukan dan bantuan akses rawatan di rangkaian Pusat Hemodialisis YASA di seluruh negara.
Kerjasama ini turut merangkumi perkongsian sumber data, kepakaran dan jaringan komuniti bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dan mampan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, selaras dengan hasrat Paduka Baginda untuk melihat inisiatif kesihatan dan kebajikan di bawah YASA terus memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan.
Usai majlis simbolik, Paduka Baginda berkenan meninjau kemudahan rawatan di pusat tersebut serta menyantuni para pesakit dan warga kerja, sebelum berkenan menunaikan Solat Jumaat bersama para jemaah di Masjid Talhah Bin Ubaidillah. -KESULTANAN PAHANG





