ROMPIN, 24 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar setiap daerah di negeri ini mempunyai visi yang jelas, perancangan jangka panjang serta pentadbiran yang bijaksana bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan memberi manfaat kepada rakyat.
Paduka Baginda bertitah, Rompin yang merupakan daerah kedua terbesar di Pahang mempunyai potensi pembangunan yang besar khususnya melalui keistimewaan khazanah alam semula jadi, kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau yang menjadi tarikan pelancongan.
“Rompin mempunyai keistimewaan tersendiri, khususnya dari segi keindahan alam semula jadi, sama ada di daratan mahupun di lautan.
“Daerah ini mempunyai Taman Negeri serta Pulau Tioman yang menjadi antara tarikan pelancongan utama negeri Pahang,” titah Paduka Baginda ketika menyampaikan titah sempena Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin di Pantai Hiburan, di sini hari ini.
Paduka Baginda turut menyifatkan kedudukan Rompin yang bersempadan dengan Johor sebagai kelebihan strategik yang berpotensi membolehkan daerah itu menikmati limpahan ekonomi daripada pembangunan pesat negeri jiran berkenaan.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menegaskan bahawa pihak pentadbiran daerah perlu mempunyai perancangan yang rapi dan berpandangan jauh, bukannya melaksanakan pembangunan secara ad hoc tanpa hala tuju yang jelas.
“Ketiadaan perancangan jangka panjang boleh mencerminkan kelemahan dalam pentadbiran. Peringatan ini bukan sahaja ditujukan kepada daerah Rompin, tetapi juga kepada semua daerah di negeri Pahang. Saya berharap agar setiap daerah mengambil perhatian terhadap perkara ini.
“Saya percaya, sebahagian besar pegawai daerah dan wakil pentadbiran berada bersama-sama kita pada hari ini. Saya mahu setiap daerah mempunyai daya saing yang tersendiri. Persaingan yang sihat antara satu daerah dengan daerah yang lain akan menjadi petunjuk positif kepada kemajuan dan pembangunan negeri Pahang secara keseluruhannya,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan agar jasa dan sumbangan pemerintah Kesultanan Pahang terdahulu serta pemimpin negeri, termasuk bekas Menteri Besar dan wakil rakyat, sentiasa dihargai kerana pembangunan yang dinikmati hari ini merupakan hasil perancangan dan kebijaksanaan generasi terdahulu.
Menyentuh potensi pelancongan, Paduka Baginda bertitah agar cadangan menyediakan perkhidmatan feri yang menghubungkan tanah besar dengan Pulau Tioman dan pulau-pulau di sekitarnya dikaji bagi meningkatkan kemudahan perhubungan untuk penduduk serta pengusaha pelancongan.
“Saya sedar bahawa usaha ini mungkin memerlukan peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan. Namun, kemudahan sedemikian boleh memberikan manfaat kepada pengusaha pelancongan, komuniti perniagaan dan penduduk setempat selain membantu meningkatkan akses kepada pulau-pulau berkenaan.
“Kadangkala, kerajaan tidak boleh hanya melihat sesuatu perkhidmatan daripada sudut keuntungan semata-mata. Sebaliknya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Itulah antara harapan saya terhadap pembangunan daerah Rompin,” titah Paduka Baginda.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Rompin terus berkembang maju, mendapat keberkatan Allah SWT serta kekal sebagai daerah yang aman, harmoni dan sejahtera untuk generasi kini dan akan datang. — KESULTANAN PAHANG







