KUANTAN, 13 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 di Hotel Grand Makmur di sini hari ini.
Turut mengiring ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YH Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud.

Konvensyen ini menghimpunkan pimpinan koperasi kariah masjid dari seluruh negara dengan bertemakan “Koperasi Memperkasa Ekonomi Ummah, Membina Ekonomi Madani”.
Paduka Baginda ketika bertitah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian koperasi yang sebelum ini hanya 11 koperasi didaftarkan dengan keanggotaan seramai 825 orang namun kini melonjak kepada 16,284 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menitahkan agar seramai 1,830 pegawai dan kakitangan masjid di seluruh negeri Pahang agar membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) demi kebaikan, keselesaan dan keterjaminan dalam menguruskan masjid.
“Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) juga diminta membuat dasar dan panduan pembabitan masjid-masjid dalam aktiviti ekonomi,” titah Paduka Baginda.- KESULTANAN PAHANG







