PEKAN, 13 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Taman Teknologi Hijau di Paloh Hinai, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 3 petang bersempena Majlis Pelancaran Produk Baja Bio-Organik (Next Booster dan Next Compost) serta Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik Nextgreen Fertilizer Sdn Bhd.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat pelaksanaan projek padi di Mukim Kuala Kuantan oleh Pengarah Urusan Nextgreen Global Berhad, Dato’ Lim Thiam Huat.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan mendengar persembahan ucapan Pengarah Nextgreen Global Berhad, Dato’ Mohd Yusof Din sebelum menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik di antara DOA Integrated Farming Sdn Bhd, Padi Global Sdn Bhd dan MARDI seterusnya menyempurnakan gimik pelancaran produk Baja Bio-Organik Next Booster dan Next Compost.
Usai jamuan teh, Paduka Baginda berkenan berangkat melawat sekitar Taman Teknologi Hijau sebelum berangkat pulang. – KESULTANAN PAHANG







