KDPB Sultan Pahang berkenan bergotong-royong membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di Taman Pelangkah, Pekan, Pahang pada 22 Disember 2025.
Paduka Baginda bersama-sama sukarelawan pelbagai agensi termasuk daripada pegawai dan kakitangan Majlis Kesultanan Pahang (MKP) memulakan kerja-kerja pembersihan pada pukul 10.00 pagi.
Keberangkatan Paduka Baginda bagaikan sinar buat mereka yang dirundung duka akibat musibah tersebut yang saban tahun melanda setiap kali musim tengkujuh.
“Jaga kesihatan, jaga anak-anak dan keluarga dengan baik. Saya harap banyak-banyak bersabar dengan dugaan ini,” demikian titah Paduka Baginda ketika menyantuni mangsa banjir di situ.
Selain bertanya khabar, Paduka Baginda turut menyampaikan kurniaan kepada penduduk yang tidak bernasib baik agar dapat meringankan beban mereka.- KESULTANAN PAHANG






