TEMERLOH, 2 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Seri Semantan di sini hari ini.
Solat Jumaat dipimpin oleh Imam 1, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Temerloh, Ahmad Hakim bin Samsudin.
Khutbah Jumaat bertajuk Mengimarahkan Masjid dengan memberi penekanan terhadap peranan semua umat Islam untuk memastikan masjid terus menjadi simbol kegemilangan Islam dan pusat utama perhimpunan umat Islam bagi menunaikan ibadah dan ajaran agama Islam yang sebenarnya.
Turut ditekankan agar umat Islam di negeri ini, sama ada rakyat mahupun kepimpinan untuk bersama-sama berusaha membina masyarakat yang sejahtera agamanya dan jauh dari gejala moral dan sosial yang tidak baik.
Dalam pada itu, khutbah turut menekankan agar umat Islam dan rakyat negeri Pahang terus mendokong dan menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkaitan larangan penjualan vape atau rokok elektronik di seluruh negeri berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Titah baginda amat penting dan bertepatan sebagai salah satu usaha menyelamatkan anak-anak muda di negeri ini dari terjerumus ke dalam kemudaratan yang merbahaya.
Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan kepada pihak pengurusan masjid dan menyantuni para jemaah seusai selesai solat Jumaat. – KESULTANAN PAHANG







