PEKAN, 7 Januari 2026 – “Minuman kegemaran tuanku yang selalu dipesan ialah Ice Latte dan Matcha Nyor apabila setiap kali singgah ke kafe kami”.
Demikian kata pemilik kafe Matcha & Dessert di Laman Pekan Lama, Najmuddin Muif, 31, yang turut berkongsi rasa gembira dengan kesudian Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang sudah beberapa kali singgah ke kedai kopi miliknya.
“Alhamdulillah, hari ini tuanku singgah lagi, kadang-kadang tuanku ‘drive-thru’ sahaja. Hari ini tuanku pesan ais latte dan chicken curry puff.
“Sudah pasti keberangkatan Paduka Baginda buat saya dan semua yang ada di sini rasa teruja. ‘Vibe’ keberangkatan Paduka Baginda memang sangat istimewa, tiada kata dapat gambarkannya. Saya memang nervous bila setiap kali tuanku singgah, tapi kata-kata mesra tuanku sentiasa buat hati lebih tenang dan gembira,” kongsinya.
Paduka Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira setengah jam menikmati kopi di kafe tersebut serta beramah mesra dan melayani permintaan orang ramai yang mahu merakam gambar kenangan bersama Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







