KUANTAN, 9 Februari 2026 — Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat merasmikan kilang pemprosesan biojisim milik Elridge Energy Holdings Berhad di Gebeng, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 11 pagi disambut Pengerusi Elridge Energy, Tan Sri Dr Azmil Khalil Dato’ Khalid dan Pengerusi Felda, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Paduka Baginda berkenan menandatangani plak perasmian sebelum berangkat melawat kilang Bio Eneco serta melihat operasi kilang ini yang dijangka dapat memperkukuh peranan Pahang sebagai hab tenaga boleh diperbaharui berorientasikan eksport.
Kilang berkapasiti 240,000 tan setahun ini berfungsi memproses sisa industri minyak sawit, khususnya tempurung isirung sawit (Palm Kernel Shells – PKS), untuk dijadikan bahan api biojisim berkualiti tinggi bagi pasaran antarabangsa.
Kewujudan kilang ini turut bertujuan menyokong permintaan eksport yang semakin meningkat, terutamanya dari negara seperti Jepun, selain menyumbang kepada usaha peralihan tenaga global ke arah sumber yang lebih mampan.
Selain menyokong agenda kelestarian, kilang berkenaan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pewujudan peluang pekerjaan serta pengukuhan aktiviti sokongan seperti logistik, perkhidmatan pelabuhan dan industri hiliran berkaitan.
Perasmian kilang ini turut mencerminkan komitmen berterusan negeri Pahang dalam menyokong pembangunan industri hijau dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui selaras dengan keperluan keselamatan tenaga serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang. -KESULTANAN PAHANG







