CAMERON HIGHLANDS, 11 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Wageningen University & Research (WUR), di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj disambut oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar bin Nordin, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Rudyfasla bin Hj. Mujid serta serta seluruh kepimpinan di peringkat daerah.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyaksikan acara tersebut yang menjadi simbolik permulaan kerjasama strategik antara SMACH, UPM dan WUR dalam memperkukuh pembangunan pertanian moden berasaskan penyelidikan dan inovasi.
Inisiatif ini dijangka memberi tumpuan kepada teknologi pertanian pintar, amalan lestari serta peningkatan produktiviti sektor agromakanan tanah tinggi selain membuka ruang kepada perkongsian kepakaran antarabangsa, pemindahan ilmu dan pembangunan modal insan.
Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat reruai pameran yang memaparkan projek dan teknologi berkaitan sebelum berangkat meninggalkan majlis. -KESULTANAN PAHANG






