ROMPIN 20 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Pantai Bernas di sini hari ini.
Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Solat Jumaat dipimpin oleh Kadi Muadzam Shah, Al-Fadhil Ustaz Mohd Farik bin Jamaluddin.
Khutbah Jumaat membincangkan tentang kemuliaan bulan Ramadan dan menyeru agar umat Islam terus meningkatkan ketakwaan dan perbanyakan amalan kebaikan terutama membela nasib golongan fakir dan miskin.
Dengan berpuasa, merasai lapar dan dahaga sepatutnya kita merasai dan memahami akan kesengsaraan hidup golongan fakir dan miskin.
Umat Islam terutama yang berkemampuan harus membantu golongan seperti ini dan jauhilah sifat berlebih-lebih dan membazir terutama ketika berbuka puasa.
Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan golongan asnaf sekitar kampung tersebut. – KESULTANAN PAHANG







