ROMPIN 20 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Teluk Gading di sini dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Kampung Teluk Gading.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, menerusi titah perasmian Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menyeru kepada seluruh rakyat di Kampung Teluk Gading agar tidak membiarkan kubah masjid sekadar menjadi hiasan kaku dan bisu.
“Hidupkanlah rumah Allah ini dengan zikir yang menenangkan jiwa, majlis ilmu yang mencerahkan akal serta aktiviti yang mempereratkan ukhwah.
“Jadikanlah masjid ini bahtera iman yang membawa kita menuju pantai kedamaian, telaga rohani yang melepaskan dahaga jiwa serta paksi perpaduan yang menyatukan masyarakat dalam satu ikatan yang kukuh dan sejahtera,” titah baginda. – KESULTANAN PAHANG






