LIPIS, 7 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Wanita Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur tahun 2026 di Masjid Sultan Mahmud, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 10.15 pagi disambut Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Paduka Baginda turut berkenan meluangkan waktu membaca kalam suci itu bersama-sama kia-kira 1022 orang wanita yang hadir mengimarahkan majlis berkenaan yang diadakan bersempena sambutan hari Nuzul Al-Quran, hari ini.
Bacaan Al-Quran dipimpin Johan Qariah Daerah Lipis, Ustazah Nur Ainun Hassan bermula pukul 10.30 pagi dan selesai kira-kira pukul 12 tengahari.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 50 orang asnaf dan anak yatim. -KESULTANAN PAHANG






