LIPIS, 12 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Daerah Lipis di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis di sini, hari ini.
Paduka Baginda berkenan mendengar persembahan taklimat daripada Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim berkenaan perkembangan dan pembangunan semasa daerah yang dihuni seramai 103,300 orang penduduk itu.
Pada sesi tersebut Paduka Baginda turut menzahirkan rasa penghargaan di atas usaha semua pihak yang terlibat dalam merancang pembangunan daerah dan berharap segala perancangan dipercepatkan bagi memastikan Pahang terus berdaya saing dengan negeri-negeri lain.
Titah Paduka Baginda langkah itu penting bagi menarik lebih banyak pelabur ke kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai pusat ekonomi, termasuk pembangunan taman industri dan pusat perniagaan yang mampu merancakkan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menegaskan setiap daerah di negeri ini perlu menjadikan usaha menarik pelaburan dan merancakkan ekonomi sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
“Semua daerah di negeri Pahang perlu bergerak lebih pantas kerana saingan dengan negeri lain begitu ketara. Jika tidak bertindak, kita akan ketinggalan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG








