LIPIS, 12 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, fikiran dan dana dalam pembinaan sebuah masjid di Kuala Medang serta menjayakan program sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Paduka Baginda bertitah, usaha tersebut merupakan satu amal kebajikan yang besar dan hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa dan pengorbanan semua pihak yang terlibat.
Menurut Paduka Baginda, sejak zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sekadar tempat umat Islam menunaikan solat, malah berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu, tempat bermusyawarah, pusat kebajikan serta wadah membina kekuatan ummah.
“Saya berharap agar masjid ini akan terus berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat dan pembangunan ummah, khususnya bagi warga Kuala Medang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Jamek Kampung Kuala Medang sebagai Masjid Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Kampung Kuala Medang.
Sementara itu Paduka Baginda di dalam titah menegaskan keperluan memperkasakan pendidikan al-Quran dan tahfiz dalam kalangan generasi muda kerana pendidikan al-Quran merupakan asas penting dalam membentuk sahsiah, akhlak serta jati diri umat Islam.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak negeri itu mendapat pendidikan agama berkualiti dan menepati tuntutan syariat.
Paduka Baginda turut memuji usaha Yayasan Pahang yang terus memainkan peranan penting dalam memperkasa institusi tahfiz dan madrasah di negeri ini, selain menyokong pembangunan pendidikan al-Quran demi memastikan ilmu dan cahaya al-Quran terus berkembang dalam kalangan generasi muda.
“Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga giat menyelaras sistem pendidikan tahfiz dan madrasah di seluruh negeri bagi memastikan setiap institusi bergerak di bawah satu landasan tersusun dengan kurikulum yang seragam dan berkualiti,” titah Paduka Baginda.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda mengingatkan agar masjid dan surau terus diimarahkan walaupun selepas Ramadan berakhir, serta menjadikan bulan Ramadan sebagai titik permulaan untuk terus memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. -KESULTANAN PAHANG







