KUANTAN, 13 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob yang meninggal dunia hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur akibat pneumonia.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Paduka Baginda berdua turut berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang.
Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Norma mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Persekutuan. -KESULTANAN PAHANG







