MARANG 15 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan bercemar duli berangkat ke Program Memasak Bubur Lambuk Untuk Penghuni Penjara Marang di sini hari ini.
Turut mengiring ialah YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’ binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penjara Marang menjadi lokasi terakhir untuk edisi memasak bubur lambuk sepanjang Ramadan ini dan ia merupakan inisiatif Paduka Baginda dalam menyantuni golongan di sebalik tirai besi itu.
Selain memasak, Duli-Duli Tuanku turut berkenan melawat produk-produk keluaran penjara di Bengkel Songket dan Batik. – KESULTANAN PAHANG







