PEKAN, 2 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Sesi Dialog ‘Budaya dan Diplomasi Social Sustainability and The Preservation of Textile Heritage’ di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10.30 pagi turut disambut Ahli Perbadanan Muzium Negeri Pahang serta tetamu kehormat yang terdiri daripada Tuan Yang Terutama Duta-duta dan isteri daripada 22 buah negara dari benua Afrika.
Pada sesi berkenaan Paduka Baginda berkongsi pengalaman bagaimana mulanya minat serta kesungguhan Paduka Baginda mengangkat Tenun Pahang sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.
Paduka Baginda turut berkenan bertitah mengenai kepentingan mengekalkan dan mengangkat budaya serta keistimewaan bangsa termasuk memastikan sejarah yang diwarisi dapat terus kekal dari generasi ke generasi akan datang.
Usai sesi dialog, Paduka Baginda berkenan membawa tetamu melawat Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah yang turut menempatkan Muzium Seni Kontemporari (MOCA). Paduka Baginda juga berkenan menyempurnakan perasmian Galeri MOCA+ sebelum berangkat pulang. -KESULTANAN PAHANG






