KUANTAN 7 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menyertai kelas tulisan Jawi dan kuliah agama di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Kelas kendalian Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari itu turut disertai oleh pegawai-pegawai istana.
Kelas itu diadakan dalam usaha Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam memperkukuh penguasaan serta memartabatkan warisan tulisan Jawi sebagai khazanah bangsa dan identiti umat Islam.
Sejurus selesai sesi pembelajaran Jawi, Paduka Baginda turut berkenan menyertai kuliah agama bertajuk Tamadun Islam yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr. Haji Badli Shah Alauddin.
Kuliah tersebut menyentuh peranan kegemilangan tamadun Islam dalam membentuk peradaban dunia serta kepentingan menghayati nilai-nilai ilmu, akhlak dan kepimpinan berteraskan syariat.-KESULTANAN PAHANG






