KOTA KINABALU, 11 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sesi pertemuan bersama Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 2 petang diiringi oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Pada pertemuan tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam pelbagai aspek terutamanya pemerkasaan hubungan antara negeri.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu turut mencerminkan hubungan erat serta semangat persaudaraan yang terus kukuh antara Negeri Pahang dan Negeri Sabah.
Paduka Baginda berada di Sabah selama tiga hari bermula hari ini bersempena Kembara Mahkota Borneo yang turut menyaksikan Paduka Baginda mengetuai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu, esok. – KESULTANAN PAHANG








