KUANTAN, 13 Mei 2026 – Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu hari ini.
Pendakian ini adalah bersempena dengan Ekspedisi Mahkota Borneo yang bermula sejak Isnin lalu dan berakhir pada hari ini.
Kejayaan Paduka Baginda menawan puncak gunung tertinggi di Malaysia itu mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin serta kecekalan yang tinggi dalam menghadapi cabaran sepanjang ekspedisi berkenaan.
Ekspedisi Mahkota Borneo turut menjadi simbol semangat kepimpinan, keberanian dan kecintaan Paduka Baginda terhadap khazanah alam semula jadi negara di samping mengangkat nilai perpaduan serta jati diri anak muda.
Warga Majlis Kesultanan Pahang turut menzahirkan rasa bangga dan syukur atas kejayaan bersejarah tersebut serta mendoakan agar Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang sentiasa dikurniakan keafiatan, keselamatan dan keberkatan dalam setiap urusan.
Daulat Tuanku.
————







