KUANTAN, 25 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden di pelantar minyak Platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, semalam.
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dan amat bersimpati atas tragedi berkenaan yang turut mengorbankan dua anak Pahang iaitu Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan dan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa maut manakala seorang parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform berkenaan.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Selain itu, Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi saat yang amat sukar dan menyedihkan ini.– KESULTANAN PAHANG







