KUANTAN, 15 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah hasrat Paduka Baginda untuk melihat Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) muncul sebagai sebuah institusi pendidikan tahfiz terulung di Malaysia kini telah menjadi kenyataan hasil pencapaian cemerlang yang berjaya dilakar oleh institusi berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Paduka Baginda menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang berjaya tersenarai dalam kelompok tiga sekolah terbaik di Malaysia berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurut Paduka Baginda, pencapaian tersebut membuktikan kejayaan sistem pendidikan tahfiz Negeri Pahang dalam melahirkan generasi huffaz yang seimbang antara kecemerlangan akademik dan penghayatan agama.
“Hasrat saya untuk melihat Maahad Tahfiz ini menjadi sebuah institusi pendidikan tahfiz terulung di Malaysia telah menjadi kenyataan.
“Inilah tempatnya untuk melahirkan modal insan yang seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi demi menyediakan bakal pemimpin negara pada masa hadapan,” titah Paduka Baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2026 di Hotel Zenith, hari ini.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Dato’ Mohd Lefzul Muda Al-Hafiz.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat meneruskan legasi kecemerlangan tersebut akan terus diperkasakan supaya Negeri Pahang dapat terus menikmati manfaat daripada lahirnya pelajar-pelajar terbaik yang bakal menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Pada masa sama, Paduka Baginda merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang, pihak pengurusan sekolah, para guru, ibu bapa serta seluruh warga sekolah yang telah memainkan peranan besar dalam merealisasikan kejayaan berkenaan.
“Pendidikan bukan sekadar proses menimba ilmu, sebaliknya merupakan medan untuk membentuk insan yang berakhlak, berintegriti, berfikiran kritis serta mempunyai jati diri yang kukuh.
“Dalam mendepani dunia yang semakin mencabar dan dipacu oleh kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital, Baginda mengingatkan bahawa generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan daya saing global tanpa mengabaikan nilai adab dan akhlak.
“Saya yakin masa depan anak-anak tahfiz di Negeri Pahang amat cerah dengan peluang yang lebih luas berbanding sebelum ini,” titah Paduka Baginda.
Menurut Paduka Baginda lagi, generasi huffaz hari ini bukan lagi hanya tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata, malah berpotensi menjadi pakar dalam pelbagai bidang strategik seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi, kecerdasan buatan, ekonomi dan kepimpinan negara.
“Dengan asas al-Quran yang kukuh, mereka mampu tampil sebagai pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut profesionalisme, malah teguh pegangan agama, berakhlak mulia dan mempunyai integriti yang tinggi,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda turut menegaskan bahawa penubuhan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) merupakan satu langkah yang amat signifikan dan bersejarah dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pendidikan tahfiz di negeri ini.
“Universiti berkenaan bakal menjadi mercu tanda baharu kepada pembangunan ilmu berteraskan al-Quran dan menyediakan laluan pendidikan yang lebih menyeluruh kepada para huffaz untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa meninggalkan identiti serta asas pendidikan al-Quran yang telah dibina sejak di bangku sekolah.
“Saya percaya usaha tersebut akan memperkukuhkan ekosistem pendidikan Islam di Negeri Pahang sekali gus menjadikan negeri ini sebagai peneraju pendidikan tahfiz dan pengajian al-Quran di Malaysia,” titah Paduka Baginda.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan dan menyeru mereka supaya menjadikan pencapaian tersebut sebagai pemangkin untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi, di samping sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa dan jasa para guru yang telah membimbing mereka.
Paduka Baginda turut mendoakan agar Maahad Tahfiz Negeri Pahang terus melakar kejayaan yang lebih gemilang dan menjadi kebanggaan negeri Pahang Darul Makmur serta negara keseluruhannya. -KESULTANAN PAHANG







