PULAU TIOMAN, 28 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Biasiswa Institut Jantung Negara (IJN) kepada dua pelajar cemerlang dari Pulau Tioman bagi melanjutkan pengajian di Institut Jantung Negara University College (IJNUC).
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 11 pagi disambut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani bin Mad Taib serta Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutif Institut Jantung Negara University College, Profesor Emerita Dr. Durrishah binti Idrus.
Majlis tersebut merupakan satu inisiatif Institut Jantung Negara (IJN) melalui Institut Jantung Negara University College (IJNUC) dalam usaha membantu pelajar-pelajar berpotensi tinggi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang sains kesihatan dan penjagaan kesihatan.
Pada majlis berkenaan, dua anak jati Pulau Tioman menerima tajaan penuh daripada IJN bagi melanjutkan pengajian di IJNUC.
Penerima pertama ialah Nur Syazwani binti Mohammad Pazli, yang berasal dari Kampung Juara dan merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek. Beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seorang lagi penerima ialah Muhammad Alif Adha bin Abdul Hafaz, yang berasal dari Kampung Air Batang dan juga merupakan lepasan SMK Tekek. Beliau mencatat keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengurniaan biasiswa itu mencerminkan komitmen IJN dalam memperkasakan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, khususnya kepada pelajar cemerlang yang berpotensi tetapi memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan pengajian.
Pengurniaan biasiswa berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada kedua-dua pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan seterusnya menyumbang kepakaran kepada pembangunan sektor kesihatan negara pada masa hadapan. -KESULTANAN PAHANG





