KUANTAN, 1 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan rasa dukacita terhadap gejala mat rempit dan perlumbaan haram yang disifatkan semakin membimbangkan serta memberi kesan buruk kepada masa depan generasi muda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang berlangsung di Istana Abdulaziz, hari ini.
Paduka Baginda bertitah golongan belia merupakan aset dan pewaris negeri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa pada masa hadapan.
Menurut Paduka Baginda, generasi muda seharusnya mengisi usia dengan menuntut ilmu, membina sahsiah diri serta menyumbang kepada pembangunan negeri, bukannya menjadikan jalan raya sebagai gelanggang mencari populariti melalui perlumbaan haram.
Paduka Baginda turut melahirkan rasa kesal apabila budaya berbahaya itu diraikan di media sosial sehingga mendorong lebih ramai anak muda meniru perbuatan tersebut demi meraih perhatian.
“Keberanian bukan diukur pada derasnya kelajuan sebuah motosikal, tetapi pada kekuatan menundukkan hawa nafsu dan keberanian berkata tidak kepada kemungkaran. Anak muda yang sejati bukanlah mereka yang gagah mencabar maut, tetapi mereka yang berani membina masa depan dengan ilmu, akhlak, disiplin dan usaha yang berterusan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan dan semua agensi penguat kuasa atas komitmen berterusan membanteras gejala mat rempit serta perlumbaan haram.
Walau bagaimanapun, Paduka Baginda berpandangan usaha berkenaan perlu diperkasakan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, institusi keluarga serta sokongan masyarakat.
Paduka Baginda menegaskan setiap kelonggaran dalam penguatkuasaan akhirnya akan dibayar dengan nyawa anak-anak muda yang menjadi mangsa budaya tidak sihat tersebut.
“Marilah kita berganding bahu membina benteng yang kukuh melalui penguatkuasaan yang tegas, pendidikan yang berterusan, institusi keluarga yang utuh dan masyarakat yang berani menegur. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila siren ambulans bergema, gari mula dipakaikan atau akhirnya talkin dibacakan di tanah perkuburan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, masyarakat dan agensi berkaitan supaya memainkan peranan masing-masing dalam membimbing generasi muda agar menjadi pewaris negeri yang berilmu, berakhlak mulia dan berintegriti demi menjamin masa depan Pahang yang lebih cemerlang. -KESULTANAN PAHANG






