KUANTAN, 9 Sept. 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan rasa amat dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga lima mangsa yang terkorban dalam tragedi nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, hari ini.
Helikopter yang sedang menjalankan perkhidmatan Flying Doctor Service berkenaan membawa empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat, selain seorang juruterbang.
Paduka Baginda turut berharap agar seluruh ahli mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan serta kehilangan insan tersayang.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar segala urusan pengurusan jenazah semua mangsa dipermudahkan dan operasi pihak berkuasa berkaitan dapat dilaksanakan dengan lancar. – KESULTANAN PAHANG








