CAMERON HIGHLANDS, 9 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Cameron Highlands Montane Park (CHiMP), di sini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda berdua disambut Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordi serta pemimpin setempat.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan menyertai sesi lawatan sekitar CHiMP menerusi walking briefing selama kira-kira setengah jam sambil mendengar penerangan mengenai keunikan ekosistem hutan montane serta kepelbagaian flora yang terdapat di kawasan berkenaan.
Sesi penerangan tersebut disampaikan oleh Pakar Botani Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ruses Go dan Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Encik Nasrul Akmal bin Amaludin.
Dalam sesi berkenaan, Paduka Baginda berdua turut berkenan mendengar penerangan mengenai kepentingan pemeliharaan khazanah alam semula jadi, khususnya ekosistem hutan tanah tinggi yang menjadi antara aset penting Cameron Highlands.
Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) merupakan antara lokasi yang menampilkan keunikan alam semula jadi tanah tinggi Cameron Highlands, selain berpotensi menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar. – KESULTANAN PAHANG








