KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan tayangan dokumentari 𝘔𝘢𝘯 𝘞𝘩𝘰 𝘞𝘢𝘭𝘬𝘦𝘥 𝘵𝘩𝘦 𝘛𝘢𝘭𝘬: 𝘛𝘩𝘦 𝘛𝘶𝘯 𝘙𝘢𝘻𝘢𝘬 𝘚𝘵𝘰𝘳𝘺 di Aurum Theatre, The Exchange TRX, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib; Pengerusi Yayasan Tun Razak, Tan Sri Nazir Razak serta ahli keluarga Allahyarham Tun Razak.
Turut hadir adalah tokoh veteran dan negarawan terkemuka dalam arena politik Malaysia, YM Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam.
Program dimulakan dengan sesi bertafakur bagi memperingati Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang disusuli bacaan Surah Al-Fatihah.
Paduka Baginda berkenan menyaksikan tayangan video montaj khas pelancaran pameran Tun Razak: Dari Anjung ke Padang di The Exchange TRX, diikuti ucapan oleh Tan Sri Nazir Razak sebelum tayangan dokumentari yang mengangkat perjalanan hidup, kepimpinan serta sumbangan besar Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kepada negara.
Dokumentari berkenaan mengetengahkan pemikiran dan wawasan Allahyarham Tun Abdul Razak, khususnya dalam merangka dasar pembangunan negara, memperkukuh ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama masyarakat luar bandar.- KESULTANAN PAHANG







