KUANTAN, 22 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan menyempurnakan pelancaran buku Fiqh al-Watan: Tatacara Kehidupan Bertanah Air Rakyat Negeri Pahang sempena hari kedua Seminar Hukum Kanun di Alam Melayu bertemakan ‘Tradisi Perundangan, Kedaulatan dan Transformasi Masyarakat’, di Kutubkhanah Diraja, hari ini.
Pelancaran buku terbitan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) ini merupakan antara pengisian utama seminar yang menghimpunkan para sarjana, ahli akademik dan pengkaji sejarah serta perundangan bagi membincangkan perkembangan tradisi perundangan di Alam Melayu, termasuk peranan Islam, institusi beraja dan adat dalam pembentukan sistem perundangan masyarakat Melayu.
Buku tersebut mengetengahkan konsep Fiqh al-Watan sebagai panduan tatacara kehidupan berteraskan hubungan antara rakyat, negeri, agama dan institusi pemerintahan, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman eterhadap warisan perundangan serta nilai-nilai kehidupan bermasyarakat di Pahang.
Pada majlis berkenaan, buku Fiqh al-Watan turut diserahkan kepada wakil Kerajaan Negeri Pahang sebagai simbolik penerimaan hasil penulisan yang mengangkat tradisi perundangan dan pemikiran Islam dalam konteks kehidupan bertanah air.
Terdahulu, seminar diteruskan dengan pembentangan oleh Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM), Profesor Madya Dr. Amran bin Muhammad dengan tajuk ‘Hukum Kanun Pahang sebagai Manifestasi Fiqh al-Watan: Dinamika Hubungan Antara Raja, Syariah, Adat Resam dan Kesejahteraan Negeri’.
Seminar turut menampilkan pembentangan ilmiah mengenai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, pengaruh ilmu kolonial terhadap undang-undang dan tamadun Melayu, kesinambungan hukum adat Sabah serta perkembangan perundangan Islam di Sarawak dan Brunei, selain kupasan khusus mengenai Hukum Kanun Melaka.
Program hari kedua ini turut merangkumi lawatan ke pameran khas sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Negeri Pahang (1976–2026) bertemakan ‘Sejarah dan Tamadun Perundangan Alam Melayu: Tradisi Hukum, Kedaulatan dan Transformasi Perundangan’.
Seminar berkenaan menjadi platform penting dalam memperluas wacana ilmiah mengenai warisan perundangan Alam Melayu, di samping mengangkat kepentingan memelihara dan memahami tradisi hukum sebagai sebahagian daripada sejarah, identiti dan ketamadunan masyarakat serantau. – KESULTANAN PAHANG







