ABU DHABI, 16 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menaiki perkhidmatan kereta api penumpang Etihad Rail dari stesen Abu Dhabi ke Dubai, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda adalah bersempena dengan keberangkatan rasmi Paduka Baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perjalanan laluan Abu Dhabi-Dubai itu mengambil masa kira-kira satu jam 10 minit, sekali gus memberi peluang kepada Paduka Baginda merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel moden yang diperkenalkan di negara berkenaan.
Etihad Rail merupakan perkhidmatan kereta api penumpang pertama di UAE yang mula beroperasi pada tahun 2026, dengan rangkaian stesen awal melibatkan Abu Dhabi, Dubai, Sharjah dan Fujairah.
Perkhidmatan berkenaan mampu menampung sehingga 400 penumpang bagi setiap perjalanan dengan kelajuan maksimum 200 kilometer sejam.
Pembangunan rangkaian kereta api ini merupakan sebahagian daripada usaha UAE memperkukuh sistem pengangkutan awam, meningkatkan hubungan antara bandar serta menyediakan alternatif perjalanan yang lebih cekap dan selesa.
Menjelang 2030, Etihad Rail menyasarkan jumlah penumpang mencecah 36.5 juta orang, mencerminkan potensi besar pengangkutan rel dalam menyokong pembangunan ekonomi dan mobiliti negara itu. – KESULTANAN PAHANG






