TURKIYE, 9 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pembukaan Pavilion Malaysia sempena Persidangan Ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP31) di Antalya, Turkiye hari ini.
Majlis yang berlangsung pada pukul 10 pagi itu merupakan sebahagian daripada penglibatan Malaysia dalam persidangan antarabangsa yang berlangsung dari 9 hingga 20 November 2026, dengan Türkiye sebagai tuan rumah.
Persidangan COP31 menghimpunkan pemimpin dunia, wakil kerajaan, organisasi antarabangsa serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkukuh kerjasama global dalam menangani perubahan iklim, di samping mempercepat pelaksanaan komitmen sedia ada berkaitan tindakan iklim.
Pavilion Malaysia menjadi platform untuk mengetengahkan penglibatan dan usaha negara dalam agenda perubahan iklim serta membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pertukaran pandangan dan kerjasama dengan komuniti antarabangsa.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar, pemeliharaan khazanah alam semula jadi serta kerjasama antarabangsa dalam memastikan pembangunan yang mampan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku sebelum ini turut memperlihatkan komitmen terhadap pemuliharaan warisan alam semula jadi negeri Pahang, antaranya menerusi penubuhan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah (Al-Sultan Abdullah Royal Tigers Reserve).
Turut menjadi antara agenda COP31 ialah usaha memperkukuh inisiatif Sifar Sisa Global (Global Zero Waste Alliance) menerusi kerjasama sukarela antara negara, organisasi antarabangsa, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat sivil bagi memperluas amalan pengurusan sisa secara mampan serta ekonomi kitaran. – KESULTANAN PAHANG







