UNITED KINGDOM, 11 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di atas kejayaan memperoleh Sarjana dalam bidang tekstil dari University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom, semalam.

Kejayaan anakanda sulung kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang begitu bernilai ini bukan sahaja membanggakan Paduka Baginda berdua, malah turut menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam mengangkat martabat seni dan warisan tekstil di peringkat antarabangsa.

Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah sentiasa dikurniakan keberkatan, kesihatan, dan kejayaan berterusan dalam apa jua bidang yang diceburi, seterusnya terus menjadi contoh teladan kepada rakyat, khususnya golongan wanita dan belia negara. -KESULTANAN PAHANG








