KUANTAN, 31 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Pahlawan 2025 kepada semua perwira dan wirawati tanah air.
Sempena sambutan Hari Pahlawan pada hari ini, Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua anggota keselamatan negara – Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di atas segala jasa dan pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan negara serta menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Sesungguhnya, semangat keberanian dan kesetiaan para pahlawan, sama ada yang telah gugur mahupun yang masih berkhidmat menjadi lambang keutuhan jati diri bangsa dan negara.
Paduka Baginda berdua turut mengajak rakyat untuk bersama-sama mengenang jasa mereka dengan penuh rasa syukur dan hormat, serta meneruskan legasi perjuangan mereka dengan menyemai nilai-nilai patriotisme dalam diri generasi akan datang.
Semoga Allah SWT terus memberkati tanah air kita yang tercinta dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh para pahlawan yang telah pergi mendahului kita. Al-Fatihah.
Selamat Hari Pahlawan 2025.
-KESULTANAN PAHANG







