PEKAN, 4 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-196 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif MUP, Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain.
Paduka Baginda berkenan mendengar pembentangan dan perbincangan berkaitan hal ehwal MUIP termasuk perancangan semasa bagi memantapkan lagi peranan pentingnya dalam menguruskan pembangunan hal ehwal Islam serta membina kekuatan rohaniah ummah di negeri Pahang.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Haji Khirrizal Ab. Rahman dan Pengetua Madrasah An Nabawiyyah, Pulau Tawar, Jerantut yang juga Presiden Penubuhan Ikatan Madrasah Pahang, Dato’ Cik Wan Hilmy bin Wan Mohamed di atas pelantikan sebagai ahli majlis yang baharu.
Paduka Baginda bertitah menzahirkan agar kedua-duanya dapat menyumbang pelbagai pandangan, idea, serta inisiatif baharu yang berwawasan sekaligus membantu membawa MUIP menuju kecemerlangan yang berterusan dan lebih gemilang di masa hadapan. –KESULTANAN PAHANG








