PEKAN, 4 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh dan bukan sekadar semakan kosmetik, sebaliknya dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan maqasid syariah.
Paduka Baginda bertitah, dalam menghadapi cabaran zaman yang semakin mencabar dan menggugat prinsip syariah, sudah tiba masanya peruntukan undang-undang Islam di Pahang digubal dengan lebih mendalam serta selari dengan lima prinsip utama maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Baginda menegaskan, setiap peruntukan baharu mestilah mencerminkan realiti masyarakat Islam kontemporari serta menjawab keresahan umat dengan penuh hikmah dan ketegasan, disokong oleh mekanisme penguatkuasaan yang tersusun dan menyeluruh.
“Peruntukan enakmen yang digubal ini juga perlu selari dengan elemen penguatkuasaan yang diperkasa secara serius, tersusun dan menyeluruh.
“Saya melihat terdapat keperluan untuk memperkukuh struktur dan keupayaan pasukan penguatkuasa dari pelbagai aspek termasuklah latihan berterusan, peningkatan sumber manusia, kemudahan logistik dan teknologi sokongan.
“Hal ini bagi memastikan peruntukan enakmen yang digubal tidak hanya tinggal tulisan semata-mata, tetapi benar-benar dikuatkuasakan secara adil dan profesional sesuai dengan tuntutan maqasid syariah,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ke-196 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyentuh aspek fatwa di mana institusi fatwa di Pahang perlu terus berlandaskan ilmu, autoriti dan prinsip ijtihad yang sahih berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas serta mempertimbangkan kepentingan ummah secara menyeluruh.
“Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak negeri perlu diperkasa agar fatwa yang dikeluarkan menjadi pedoman yang diyakini dan dihormati, bukan sekadar warta yang dipandang sepi.
“Saya tidak mahu ada segelintir pihak memperlekeh atau mempertikai fatwa yang sah, hanya kerana kurangnya kejelasan atau ketegasan dari pihak berautoriti. Ketegasan dan penelitian yang jelas dalam mengeluarkan fatwa akan memberi kepercayaan yang lebih utuh, kepada umat Islam untuk berpegang dan mengikutinya dengan penuh keyakinan,” titah Paduka Baginda. –KESULTANAN PAHANG







