PEKAN, 4 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan tinggi agar institusi pendidikan Islam di negeri ini, khususnya Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang, terus diperkasa sebagai teras penting pembentukan insan rabbani yang berilmu, berakhlak dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Titah Paduka Baginda, satu pelan strategik yang menyeluruh, jelas dan berpandangan jauh perlu digarap segera bagi memastikan pembangunan institusi pendidikan Islam terus relevan dan unggul.
“Pelan ini perlu merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah pelajar secara seimbang.
“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi insan rabbani yang menyinari masyarakat dengan ilmu dan nilai-nilai Islam yang luhur,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Ke-196 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang telah membuktikan bahawa kecemerlangan dalam bidang agama dan akademik bukan dua laluan berasingan, sebaliknya boleh berjalan seiring dengan cemerlang.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menitahkan agar model pendidikan MTNP diperluas dan dijadikan contoh dalam merangka dasar serta memperkukuh sistem pendidikan agama sekaligus memartabatkan pendidikan Islam di negeri bertuah ini.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) harus memainkan peranan lebih aktif dan strategik dalam memastikan sekolah-sekolah agama negeri bukan sahaja setanding dengan sekolah-sekolah elit, malah mampu melangkaui dari segi kualiti pendidikan dan nilai keinsanan yang ditanamkan dalam diri pelajar. –KESULTANAN PAHANG







