KUANTAN, 5 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli melawat mangsa kebakaran di Kampung Cherok Paloh, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda kira-kira pukul 5.20 petang di tapak rumah yang terlibat dengan kejadian kebakaran disambut mangsa, Encik Muhammad Khairul Amri Abdul Halim, 33, dan isteri, Nur Zalina Binti Mohd Jusoh, 30.

Paduka Baginda meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar mangsa dan melihat tapak rumah serta kenderaan yang hangus terbakar dalam kejadian kebakaran pada petang Ahad lalu.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa dan menzahirkan rasa simpati ekoran mangsa, Nur Zalina kini sarat mengandung dan hanya menanti hari untuk melahirkan anak.
Paduka Baginda dalam titah turut berkenan menyumbangkan sebuah rumah di bawah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang akan dibina di atas tapak sama. -KESULTANAN PAHANG







