KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap Ahli Jemaah Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Antrabangsa Ke-65 (2025) yang juga merupakan imam dan bekas pensyarah di Universiti Qarawyyin, Morocco iaitu Fadhilatu Al-Sheikh Dr. Mohamad Ali Atafay di Shahzan House, di sini hari ini.
Dalam sesi mengadap tersebut, Paduka Baginda berkenan membincangkan pelbagai perkara termasuk berkenaan tulisan khat Al-Quran menurut riwayat bacaan Imam Warsh ‘An Nafi’ oleh Maghribi dan usaha-usaha yang dilakukan bagi memperkasa pengajian Al-Quran oleh Maghribi dengan Negeri Pahang.






Selain itu, Paduka Baginda turut menzahirkan hasrat untuk mewujudkan Universiti Al-Quran di Pahang serta keperluan meninjau dan membuat kajian penanda aras pengajian Al-Quran di Maghribi.
Paduka Baginda turut berkenan menerima cenderahati Al-Quran tulisan yang digunakan oleh masyarakat Maghribi di mana tulisannya berbeza dgn Al-Quran di Malaysia.
Turut sama, mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Dr Zulkifle bin Haji Ali Al-Hafiz; Imam Masjid Putra, Putrajaya, Tuan Haji Abdul Karim bin Zakaria Al-Hafiz serta Setiausaha Jemaah Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Antrabangsa Ke-65 (2025).
Selain itu, Paduka Baginda turut berkenan menerima mengadap bekas Menteri Pendidikan yang kini merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan Antarabangsa Pengajian Islam Malaysia (IAIS) dan Profesor di Fakulti Psikologi dan Sains Sosial, Universiti Cyberjaya, Dr. Maszlee Malik. -KESULTANAN PAHANG







