PULAU TIOMAN, 14 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Klinik Kesihatan Tekek untuk majlis pengurniaan alat Automated External Defibrillator (AED) dan sumbangan bantuan ekonomi golongan asnaf, hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 10 pagi diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda berkenan menyaksikan majlis penyerahan alat AED yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Jantung Negara (IJN), Prof. Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhammad.
AED ini merupakan peranti perubatan mudah alih untuk membantu individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan ia akan diletakkan di Klinik Kesihatan Kampung Tekek bagi kegunaan rakyat di sini.
Alat ini boleh menganalisis irama jantung dan jika perlu, memberikan kejutan elektrik (defibrilasi) untuk membantu memulihkan rentak yang normal dan berkesan.
Sementara itu pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Bantuan Program Pembangunan Ekonomi Asnaf Pulau Tioman, Pengurniaan Sumbangan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) serta sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Paduka Baginda dalam titah menzahirkan harapan agar bantuan yang diberikan ini dapat membantu mencetus dan meningkatkan ekonomi golongan asnaf di sini.
Paduka Baginda turut berharap agar golongan asnaf yang dibantu ini akan dapat membantu asnaf lain pula untuk bangkit melalui sumbangan atas kemajuan ekonomi yang diusahakan mereka. -KESULTANAN PAHANG