PEKAN, 27 Ogos 2026 – Almarhumah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Dato’ Sri Setia Hajah Aishah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selamat dimakamkan di Makam Diraja Pekan, hari ini.
Istiadat pemakaman berlangsung penuh penghormatan dan adat istiadat Diraja Pahang, disaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Ali bin Mohd Rustam dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Jenazah Almarhumah tiba di Masjid Sultan Ahmad 1, Pekan kira-kira jam 1.25 petang.
Setibanya di masjid, hadirin menunaikan solat Zohor dan solat jenazah sebelum penghormatan terakhir diberikan oleh kerabat diraja serta para pembesar dan jemputan yang hadir.
Jenazah Almarhumah kemudiannya dibawa ke Makam Diraja untuk disemadikan. Usai pemakaman, bacaan Yasin diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Haji Asmadi bin Mohamed Naim sebelum diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang kemudiannya berkenan menyiram air serta menabur bunga rampai ke atas makam Almarhumah diikuti Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang serta Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar dan Yang Mulia Kerabat-kerabat. – KESULTANAN PAHANG








